Luton bandar islam di England

Luton bandar islam di England



“Ia boleh dijadikan bandar contoh untuk pakar ekonomi Melayu dan Islam mengkaji bagaimana orang Islam di England dapat menguasai bandar ini untuk kita mengguna caranya bagi mula menguasai bidang ekonomi dan semua bandar raya, bandar dan pekan di Malaysia”

Ini adalah sebuah kisah tentang sebuah sebuah bandar di England yang terletak tidak jauh dari bandar raya utama di England iaitu, London. Namanya, Luton. Ianya tidak begitu terkenal berbanding dengan bandar-bandar lain di negara ini.

Ia adalah sebuah bandar yang lain dari yang lain. Ia sebuah bandar Islam. Namanya bukan asal Pakistan atau Bangladesh, tetapi Inggeris. Jadi tidak syak lagi bandar ini telah wujud lama dulu oleh sebab itu ia mempunyai nama Inggeris.

Tetapi sekarang ini, ia bukan sebuah bandar Inggeris, tetapi Islam. Berkunjung ke situ seperti berkunjung ke sebuah bandar di Pakistan atau Bangladesh. Di sini terdapat lebih ramai orang keturunan ini dan Islam lain dari Inggeris yang boleh dikira dengan jari sebelah tangan.

Luton pula terletak di tengah-tengah kawasan pertanian dan satu jam perjalanan darat dari London. Entah kenapa ia kini menjadi sebuah bandar Islam pula. Terdapat masjid dengan menara tingginya dan yang ada telah diubahsuai dari gereja.

Walaupun terdapat gereja tetapi ia sering kelihatan lesu. Orang Inggeris telah rata-rata tinggalkan agama mereka sebab mereka tidak fikir agama itu penting bagi mereka, dan mereka lebih menentukan masa depan sendiri. Ini fikiran mereka.

Tetapi tidak dengan Umat Islam. Di mana-manapun, mereka akan pentingkan agama dan kalau jumlah mereka agak besar, yang mereka utamakan ialah untuk membina masjid. Di Luton ini terdapat masjid yang besar tersergam dengan penganut menghala ke arahnya untuk masuk dan bersembahyang.

Saya ke sana awal Mac ini dan rasa agak hairan dengan keadaan di bandar ini. Ia pelik tetapi benar. Ia bukan khayalan tetapi kenyataan bahawa sebuah bandar sederhana besarnya di tengah-tengah England yang tidak jauh dari London sudah diambilalih oleh orang Islam.

Saya diberitahu bahawa ‘penaklukan’ bandar ini oleh orang Islam berlaku beberapa dekad dulu. Sudah pasti ceritanya tidak lain tentang orang dari Pakistan, Bangladesh dan India yang telah datang bekerja dalam kilang di sana dan apabila kilang-kilang ditutup, mereka dapat peluang untuk terus menetap dan mereka bawa sanak-saudara datang dari kampung.

Ada yang berasal dari negara-negara di Afrika yang telah diusir oleh pemerintah bumiputera di sana tetapi mereka tidak diterima oleh negara asal iaitu India dan Pakistan atau Bangladesh maka mereka terpaksa diterima sebagai rakyat oleh kerajaan Inggeris yang telah membawa nenek-moyang mereka keluar dari negara asal ke Afrika.

Mereka faseh berbahasa Inggeris sebab dilahirkan di negara ini. Tetapi ada yang kurang fasih sebab mereka tidak bergaul dengan ramai orang jadi perbendaharaan kata mereka tidak begitu banyak dan sebutan mereka juga pelat.

Saya dapat bayangkan dalam bulan Ramadan dan pada Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji bandar ini akan menjadi tidak banyak berbeza dengan bandar-bandar di Malaysia dengan orang Islam berkumpul pada lewat petang untuk membeli juadah untuk berbuka.

Ramai orang akan berkunjung ke masjid di sini untuk sembahyang terawih pada setiap malam. Suatu yang amat mengkagumkan ialah umat Islam disini berdikari. Mereka mempunyai semangat mahu hidup bersendirian dan tidak mahu jadi hamba kepada kuasa perniagaan.

Oleh sebab itu mereka segera menjalankan kegiatan perdagangan dengan membuka restoran dan kedai runcit. Kemudian itu mereka membuka kedai lain termasuk barang kemas hingga ke komputer.

Kalau mereka tidak melakukannya, maka mereka tidak akan dapat menwujudkan pekerjaan kepada masyarakat mereka sendiri, dan terpaksa mengemis pekerjaan dari majikan beragama dan bangsa lain.

Oleh sebab itu, lama-kelamaan mereka menguasai bidang perniagaan dan akhirnya bandar Luton ini. Tindakan seperti ini juga digunakan oleh umat Islam di tempat lain diseluruh England khususnya di Brick Lane di London di mana semua kedai di situ dimilikki oleh orang Islam.

Apa pengajaran yang boleh kita dapati dari mereka di Luton dan England? Ia adalah untuk orang Melayu turut mengamalkan semangat mahu berdikari. Kita mesti galak anak muda berkecimpung dalam bidang perniagaan secara runcit sehingga ke yang berteknologi tinggi.

Hanya dengan cara ini baru kita dapat menguasai ekonomi negara sendiri dan menawan semula bandar raya, bandar dan pekan seluruh negara.

Kalau ini tidak dilakukan, maka orang Melayu di Malaysia akan jadi hamba kepada peniaga-peniaga yang memperoleh keuntungan besar dari sokongan kita. Ke mana perginya pakar ekonomi Melayu dan Islam?

Mereka harus datang ke Luton untuk melihat dengan mata sendiri apa yang telah berlaku di sini. Luton yang dulunya dibuka oleh orang Inggeris kini dikuasai dan ditawan oleh orang Islam. Boleh dikatakan bandar ini lebih aman dan tenteram berbanding dengan bandar-bandar lain. Kadar jenayahnya rendah dan kegiatan hiburan songsang boleh dikatakan tidak ada.

Melarat

Itulah sebabnya kenapa kebanyakan orang Islam di Luton khususnya dan England seluruhnya tidak hidup melarat. Ini disebabkan mereka berkecimpung dalam bidang perniagaan menyediakan semua kemudahan dan keperluan untuk masyarakat sendiri dan dengan secara tidak langsung juga mewujudkan pekerjaan untuk mereka.

Ini berbanding dengan orang Melayu di Malaysia yang lebih suka bekerja mendapat gaji tetap tanpa mahu berkecimpung dalam bidang perniagaan. Oleh sebab itu kebanyakan bandar raya, bandar dan pekan dikuasai oleh kaum lain.

Tidakkah boleh kita belajar dari orang Islam di Luton dan England dan di Barat amnya yang berkecimpung dalam bidang perniagaan sehinggakan kedudukan mereka di negara tersebut selesa?

Kalau Melayu mula berkecimpung dalam bidang perniagaan dan Melayu lain turut beri sokongan dan beli barang-barang dari kedai kita lambat-laun, kita boleh hidup selesa dan lama-kelamaan semua bandar raya, bandar dan pekan di Malaysia akan dikuasai oleh Melayu.

Jumlah penduduk bukan Melayu di Malaysia tidak besar berbanding dengan jumlah penduduk Melayu sendiri, jadi jumlah perniagaan yang boleh diperolehi dari kegiatan perniagaan ini juga secara automatik, besar juga.

Luton mungkin tidak dikenali oleh banyak orang Melayu di Malaysia. Ia sebuah bandar kecil yang terletak di sebuah kawasan yang tidak mempunyai sebarang tarikan untuk pelancong.

Malah pelajar-pelajar dan pemastautin Melayu di England juga tidak ada sebab untuk berkunjung ke bandar ini. Tetapi ia penting. Ia boleh dijadikan bandar contoh untuk pakar ekonomi Melayu dan Islam mengkaji bagaimana orang Islam di England dapat menguasai bandar ini untuk kita mengguna caranya bagi mula menguasai bidang ekonomi dan semua bandar raya, bandar dan pekan di Malaysia.

Sumber: Utusan Malaysia

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

2 Responses to Luton bandar islam di England

  1. Ari Haji Adam says:

    Asalamualaikum,

    Bro I use to be in UK back in 1996 to 1998 and I reside in Birmingham. Anyway video ko ni very inspiring. Boleh ke aku tau kat mana nak download?

    Thanks

    Ari

  2. dalila muhi says:

    saya amat tertarik dengan rencana anda mengenai bandar Luton. apa yang saya ingin tahu ialah ramaikah orang-orang melayu yang bermastautin disana. Adakah mereka menubuhkan apa-apa persatuan melayu disana dan bagaimana untuk menghubungi mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *